FEBRUARI 2023

Sarawak Mahu Kongsi Kejayaan Dengan Negara Luar - Abang Johari


KUCHING: Sarawak akan berkongsi kejayaan dan membangun bersama dengan tiga negara jiran iaitu Brunei, Singapura dan Indonesia dalam menempuhi era ekonomi baharu, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam lawatan ke Brunei baru-baru ini, Perdana Menteri memberi jaminan akan bekerjasama lebih erat dengan negara itu untuk membina jalan perhubungan antara kedua-dua buah negara.

Bagi Singapura, Perdana Menteri memberi sokongan kepada Sarawak untuk menjual tenaga elektrik ke Singapura pada siling 1,000 megawatt dengan syarat ada pelaburan yang memerlukan tenaga termasuk membangunkan pusat data dan berkaitan dengan ekeonomi baharu.

Abang Johari menegaskan, Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kekuatan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dasar dilaksanakan dari segi ekonomi menurut Perdana Menteri adalah lebih maju.

Berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Gabungan Parti Sarawak sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di sini, beliau berkata, kolaborasi antara ketiga-tiga negara itu adalah atas keyakinan mereka terhadap dasar Sarawak.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak sedang mengkaji cadangan untuk membina empangan hidro elektrik di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.

Beliau berkata, cadangan itu masih dalam kajian tetapi Sarawak telah mengambil langkah untuk mengembangkan pembangunan ekonomi termasuk ke Brunei dan Singapura.

Dengan pucuk kepimpinan kuat dan dasar yang baik, katanya, ini akan memberi impak positif dan faedah kepada rakyat.

Premier Sarawak berkata, pada 2022, Sarawak memperoleh pendapatan RM11.9 bilion dan dengan mencatat kelebihan pendapatan hampir RM2 bilion akan dapat digunakan untuk membiayai pertumbuhan ekonomi.

“Dengan lebihan hasil pendapatan itu juga, Sarawak akan membangunkan jalan raya, menubuhkan agensi wilayah dan menaikkan taraf bekalan air, elektrik bagi menjamin hidup masa depan rakyat Sarawak,” tegas beliau.

Sambil memberitahu Sarawak berada di landasan yang betul, katanya, Sarawak bersedia untuk membangunkan ekonomi baharu termasuk penyimpanan dan perdagangan karbon serta hidrogen berbanding di Semenanjung.

Sarawak telah meminda undang-undang berkaitan dan ini akan menjadi hasil pendapatan baharu untuk Sarawak.

“Kejayaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha daripada pasukan GPS. Kita percaya GPS boleh membangunkan ekonomi ke tahap lebih tinggi dan berharap menjadikan Sarawak sebagai bintang yang menyinar di Malaysia.

“Kita akan meneruskan usaha mengembalikan hak yang terhakis dalam MA63 daripada Kerajaan Persekutuan. Rakyat hendaklah mempertahankan perpaduan sedia terjalin dan berpandangan ke hadapan serta melindungi kepentingan Sarawak dalam MA63,” tegas beliau.

Antara yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fidallah Yusof, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga Pengurusi SUPP, Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum, Setiausaha Agung PDP, Datuk Nelson Balang Rining (mewakili Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing) dan Speaker DUN, Tan Sri Dato Sri Mohd. Asfia Awang Nassar.

Sumber dari : Jiwa Bakti